WINGS Terbang Tinggi Tanpa Dua Anggota Asal, Konsert Ulang Tahun Ke-40 Tetap Diteruskan

WALAUPUN dua tonggak asalnya, Black (dram) dan Eddie (bass), telah mengumumkan pengunduran diri, kumpulan legenda rock tanah air WINGS tetap akan meneruskan Konsert Ulang Tahun Ke-40 mereka seperti yang dijadualkan.

Konsert bertemakan “WINGS 40: 4 Dekad Terbang Tinggi” akan berlangsung pada 28 November 2025 di Idea Live Arena, Damansara, dan dijangka menjadi malam penuh emosi, nostalgia dan penghargaan terhadap perjalanan seni kumpulan yang telah menjadi ikon muzik rock Malaysia sejak 1985.

Menurut penganjur merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM), Datuk Eddy Amir Salim, konsert ini bukan sekadar persembahan tetapi simbol penghormatan terhadap legasi WINGS yang telah menghiburkan generasi demi generasi.

“Ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar persembahan, ia adalah penghargaan kepada nama WINGS yang telah menghiburkan peminat selama empat dekad.

“Kami ingin memastikan setiap penonton membawa pulang kenangan indah bersama lagu-lagu ikonik WINGS,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Eddy turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Abang Eddie dan Abang Black, dua figura penting dalam sejarah WINGS serta mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan oleh Allah SWT.

Walaupun berdepan perubahan barisan, Eddy menegaskan bahawa semua persiapan berjalan lancar dan peminat boleh menjangkakan persembahan epik yang sarat dengan kenangan dan semangat rock yang tidak pernah padam.

Setakat ini, jualan tiket telah mencecah 90 peratus, menandakan sambutan hangat daripada peminat setia.

Hanya sekitar 10 peratus baki tiket masih tersedia untuk mereka yang belum membuat pembelian satu peluang terakhir untuk menyaksikan detik bersejarah ini secara langsung.

Anda Mungkin Berminat