Wira Kecil Selamat Rakan Lemas Di Pantai Pasir Hitam

LANGKAWI: Detik cemas di Pantai Pasir Hitam bertukar menjadi kisah keberanian apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun bertindak pantas menyelamatkan rakannya yang hampir lemas pada Sabtu.

Ketua Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad, Faris Danish Zulfadli, bukan sahaja terjun ke laut untuk menarik rakannya ke darat, malah menggunakan kemahiran bantuan pernafasan (CPR) yang dipelajarinya bagi menstabilkan mangsa sebelum bantuan perubatan tiba.

Kejadian berlaku selepas Faris Danish bersama dua rakannya selesai menjalani latihan merentas desa dan singgah sebentar di pantai tersebut untuk berehat.

Seorang rakannya yang berusia 10 tahun dipercayai tergelincir dari kawasan berbatu lalu terjatuh ke dalam laut.

“Selepas menunggu beberapa minit dia masih belum naik.

“Pada mulanya saya ragu-ragu kerana bimbang diri sendiri turut lemas tetapi saya nekad tidak mahu meninggalkannya.

“Saya terus terjun, tarik dia ke darat dan segera lakukan bantuan pernafasan (CPR),” katanya.

Selain melakukan CPR, Faris Danish yang juga atlet pelayaran muda turut menghubungi bapanya, Zulfadli Mohd Yusoff, 41, untuk mendapatkan bantuan.

Zulfadli segera tiba di lokasi dan bersama seorang pelancong asing membantu mengeluarkan air dari paru-paru mangsa sebelum ambulans tiba.

Zulfadli mengakui pada awalnya beliau berasa bimbang akan keselamatan anaknya ketika menerima panggilan tersebut, namun akhirnya rasa bangga mengatasi segalanya.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Khairul Azhar Nuruddin, mengesahkan kejadian itu.

Mangsa menerima rawatan awal di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Anda Mungkin Berminat