BANGKOK: Akademi Bola Sepak Wira Muda (AWM) mencipta sejarah tersendiri apabila skuad bawah 12 tahun (U12) mereka berjaya menjuarai kejohanan Bangkok International Super Cup 2025 yang berlangsung di ibu negara Thailand.
Perjalanan sejauh 30 jam dari Malaysia nyata berbaloi apabila pasukan muda ini mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan, menewaskan beberapa kelab ternama dari rantau Asia Tenggara.
Kemenangan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan buat AWM, malah mengangkat nama Pulau Pinang dan Malaysia di pentas bola sepak akar umbi antarabangsa.
Ketua jurulatih pasukan, Shaik Awish, meluahkan rasa syukur atas kejayaan bersejarah ini sambil memuji komitmen dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh para pemain muda.
“Ini hasil kerja keras semua pihak pemain, jurulatih, ibu bapa dan pengurusan akademi.
“Kami bertolak dengan satu matlamat, dan pulang dengan satu pencapaian besar,” katanya.
Turut hadir memberikan sokongan padu sepanjang kejohanan ialah para waris dan penyokong dari Malaysia yang memainkan peranan penting dalam menyuntik semangat kepada skuad muda AWM.
Kejayaan ini mengukuhkan lagi keyakinan bahawa pembangunan bakat muda dari peringkat akar umbi mampu melahirkan pemain bertaraf antarabangsa.
AWM dilihat sebagai antara akademi bola sepak yang sedang meningkat naik di Malaysia khususnya di Pulau Pinang.
Dengan pencapaian ini, AWM dijangka terus mendapat perhatian dalam kalangan pencari bakat serta bakal membuka lebih banyak peluang untuk penyertaan dalam kejohanan antarabangsa pada masa hadapan.