WISE jadi laluan alternatif kurang kesesakan lalu lintas – KKR

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyokong projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) sebagai laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di jajaran Kuala Kangsar ke Gopeng, Perak.

Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim berkata, inisiatif penswastaan pembinaan lebuh raya bertol sepanjang 60.88 kilometer itu akan menjadi alternatif terbaik kepada pengguna Terowong Menora yang sering sesak dengan kenderaan berat.

“Profil dan topografi berbukit di kawasan Gopeng-Kuala Kangsar, Lebuhraya PLUS turut memperlahankan pergerakan akibat lambakan kenderaan berat, memberi kesan kepada aliran trafik terutama di waktu puncak,” jelasnya.

Persetujuan tersebut telah ditandatangani melalui Perjanjian Konsesi Lebuhraya WISE bersama syarikat ECRSB pada 5 September lalu.

Sesi penyerahan dokumen Perjanjian Konsesi turut disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, lebuh raya di Seksyen Gopeng-Kuala Kangsar dijangka mencapai kapasiti penuh Level of Service (LOS) F menjelang tahun 2030.

“Sekiranya projek WISE tidak dilaksanakan, KKR menjangkakan kerajaan perlu melaksanakan pelebaran Lebuhraya PLUS, yang akan memberi implikasi kewangan tinggi.

“Kadar tol bagi Lebuhraya WISE ditetapkan pada kadar malar 23 sen per km sepanjang tempoh konsesi 55 tahun termasuk dalam tempoh pembinaan.

“Kaedah penetapan kadar tol ini adalah unik kerana pertama kali dilaksanakan dalam negara dan pastinya memberikan manfaat kepada bakal pengguna lebuh raya kerana tiada kenaikan terhadap perbelanjaan rakyat untuk tempoh yang lama,” jelasnya.

KKR berharap syarikat konsesi yang terlibat dapat melaksanakan tanggungjawab dengan memberikan penekanan kepada aspek kualiti terutama dari segi pematuhan spesifikasi piawai, kos dan masa untuk projek disiapkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat