Wisma Putra Belum Terima Permohonan Pencalonan Adams

PETALING JAYA: Kementerian Luar belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung pencalonan pengulas konservatif, Nick Adams, sebagai duta besar negara itu ke Malaysia.

“Mengenai Nick Adams, kita belum terima sebarang perjanjian daripada AS. Kita tunggu dan lihat dulu,” kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menjawab di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya sebarang pencalonan duta asing akan melalui proses semakan Wisma Putra serta dibawa ke jemaah menteri untuk pertimbangan serta keputusan.

“Sudah tentu Wisma Putra akan berikan pandangan sebelum ia dibentang dan diputuskan di peringkat kabinet,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai).

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan bekas Presiden AS, Donald Trump mencalonkan Adams yang merupakan warga AS kelahiran Australia sebagai duta besar ke Malaysia.

Nick Adams dikenali sebagai penulis dan pengulas politik konservatif yang lantang menyokong dasar sayap kanan di AS.

Namun begitu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan bahawa kabinet masih belum menerima sebarang memorandum daripada Wisma Putra berkaitan pencalonan tersebut.

Sebelum ini pencalonan pengulas politik konservatif dan penulis, Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia oleh Presiden Donald Trump telah mengundang bantahan daripada pelbagai pihak di negara ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat