PETALING JAYA: Di tengah ketegangan konflik bersenjata di Sudan Selatan, Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) mengesahkan bahawa semua 55 rakyat Malaysia di negara itu, termasuk 18 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di bawah misi United Nations Police (UNPOL) berada dalam keadaan selamat.
Melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis, Wisma Putra berkata, keselamatan warganegara Malaysia adalah keutamaan.
Kementerian itu mengingatkan rakyat Malaysia di Sudan Selatan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengambil langkah berhati-hati termasuk mempertimbangkan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat atau pulang ke tanah air jika keadaan semakin buruk.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia agar menangguhkan semua perjalanan ke Sudan Selatan sehingga keadaan lebih stabil.
“Warganegara Malaysia yang masih berada di negara tersebut juga disarankan mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya bagi mendapatkan bantuan dan maklumat terkini,” kata kenyataan itu lagi.
Keadaan di Sudan Selatan yang semakin merosot akibat konflik menimbulkan kebimbangan global dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia sedang memantau situasi secara dekat untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia terus terjamin.