Wisma Putra Yakin Pihak Berkuasa Arab Saudi Boleh Jejak Pelakon Hilang

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar yakin pihak berkuasa Arab Saudi akan memberikan kerjasama penuh dalam usaha mengesan pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, pada 15 Januari lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama erat antara Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan pihak polis Arab Saudi akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu siasatan serta operasi pencarian.

“Kita sedang melakukan yang terbaik dan yakin pihak berkuasa Arab Saudi, khususnya polis, akan memberikan bantuan sewajarnya memandangkan kecekapan mereka,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad turut menasihatkan keluarga mangsa supaya bertenang sementara usaha pencarian diteruskan, memandangkan pergerakan jemaah yang sangat ramai terutama melibatkan perjalanan ke Mekah.

“Kita perlu percaya kepada kecekapan pihak berkuasa dan saya meminta keluarga mangsa supaya bertenang. Kita sedang berusaha sedaya upaya,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa ejen pelancongan yang menguruskan perjalanan artis berkenaan tidak seharusnya lepas tangan dan perlu bertanggungjawab sepenuhnya, termasuk menyalurkan maklumat terperinci mengenai rombongan yang terlibat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat