X-FAB Umum Pelaburan RM3 Bilion, Kukuh Kedudukan Sebagai Hab Semikonduktor ASEAN

PETALING JAYA: Sarawak melakar satu lagi pencapaian bersejarah apabila syarikat global X-FAB mengumumkan pelaburan bernilai RM3 bilion bagi projek perluasan fasiliti pengeluaran di Samajaya High-Tech Park, Kuching.

Pelancaran projek X-FAB Sarawak 40K Fab Expansion disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menandakan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi negeri itu dalam industri semikonduktor.

“Komitmen ini bukan sekadar tentang kilang baharu, ia tanda keyakinan dunia terhadap Malaysia, khususnya Sarawak sebagai hab semikonduktor ASEAN,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook.

Pelaburan itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran X-FAB secara signifikan, sekali gus mengangkat Sarawak sebagai peneraju teknologi ‘front-end fabrication’ di rantau ini.

Ia juga seiring dengan aspirasi negara untuk menjadi pusat inovasi berteknologi tinggi.

Kerajaan Persekutuan, menurut Anwar, akan terus memperkukuh kerjasama antara industri dan institusi pendidikan tinggi bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia menghadapi cabaran automasi dan kecerdasan buatan (AI).

“Saya yakin Sarawak akan menjadi contoh unggul bagi negara sedang membangun dan turut menjadi sebahagian daripada penentu masa depan ekonomi global,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik dan dasar yang jelas menjadi faktor utama keyakinan pelabur untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik.

Untuk rekod, X-FAB Sarawak merupakan sebahagian daripada kumpulan X-FAB Silicon Foundries SE yang berpangkalan di Jerman.

Syarikat ini menghasilkan semikonduktor untuk pelbagai sektor termasuk automotif, telekomunikasi, perubatan dan teknologi hijau dengan Sarawak menjadi pusat penting operasinya di Asia.

Anda Mungkin Berminat