BEIJING: Dunia menumpukan perhatian apabila Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertemu di Great Hall of the People, Beijing, pada Khamis.
Pertemuan itu melahirkan satu visi baharu hubungan dua hala yang digelar sebagai ‘constructive strategic stability’, suatu konsep yang menurut Xi akan menjadi panduan hubungan kedua-dua kuasa besar untuk tiga tahun akan datang.
“Kerangka ini menekankan kerjasama sebagai tunjang utama, persaingan yang sihat dalam batas tertentu, perbezaan yang boleh diurus, serta keamanan yang boleh dijangka,” katanya memetik laporan antarabangsa.
Trump pula menekankan hasil konkrit yang dicapai dalam rundingan perdagangan dan tenaga.
“Kami telah mencapai hasil yang seimbang dan positif. China akan membuka pasaran untuk produk pertanian dan tenaga Amerika termasuk daging lembu dan minyak,” katanya, sambil menegaskan bahawa fokus beliau adalah pada akses pasaran dan peluang pelaburan.
Isu Taiwan turut disentuh oleh Xi, yang menegaskan bahawa ia adalah perkara paling kritikal dalam hubungan dua hala.
Namun, kenyataan rasmi White House tidak menyebut mengenai Taiwan atau istilah ‘constructive strategic stability’, sebaliknya menekankan pencapaian perdagangan dan tenaga sebagai hasil utama.








