Ya Datuk, subsidi sedang menekan Negara, ini angka sebenarnya

Oleh: Muzammil Khairi

ULASAN | Kehadapan YBhg Datuk Abdul Kadir Bin Jasin, pertamanya saya tidak dapat ‘tag’ Datuk kerana butang “mention” page Datuk “disabled”. Tidak mengapa, saya teruskan sahaja.

Berkenaan poin Datuk dalam hantaran di Facebook mengenai kerajaan kesuntukan duit itu ada benarnya.

Hasil kerajaan persekutuan ini memang terhad. Hasil kerajaan ini pula wajib digunakan untuk membayar tanggungan yang telah termaktub dalam Perkara 98 Perlembagaan Persekutuan. Jumlah tanggungan ini sahaja sudah mencecah RM109 billion. Ini bermaksud, kerajaan hanya tinggal RM229 billion untuk dibelanjakan daripada keseluruhan hasil yang dianggarkan bagi tahun 2026 iaitu RM338 billion.

Kiraan ini penting kerana perbelanjaan subsidi dalam negara kita jatuh di bawah belanja mengurus dimana perbelanjaan ini tidak boleh didanai menggunakan wang pinjaman. Ini juga bermaksud bahawa, hasil kerajaan ini hanya boleh ditampung menggunakan baki RM229 billion hasil setelah ditolak dengan tanggungan wajib kerajaan.

Pun begitu, baki ini belum lagi ditolak dengan gaji penjawat awam. Untuk pengetahuan umum, gaji penjawat awam ini jatuh di bawah emolumen, iaitu belanja bekalan, bukan di bawah tanggungan wajib kerajaan.

Jika ditolak dengan emolumen (termasuklah bayaran lebih masa, faedah2 kewangan lain etc) sebanyak RM109 billion juga, maka hasil kerajaan yang tinggal hanyalah sekitar RM119 billion.

Ini bermakna, kerajaan hanya mampu untuk fleksibel dalam berbelanja RM119 billion sahaja.

Belanja subsidi dan bantuan tunai yang dianggarkan untuk dibelanjakan pada tahun ini adalah sebanyak RM49 billion. Ini termasuklah bantuan Tunai Sara, STR, BudiMadani Diesel dan sebagainya. Subsidi & bantuan tunai bagi bahan api sahaja berjumlah RM29 billion. Bermaksud, kerajaan hanya tinggal RM70 billion.

Setakat minggu lepas, kita dimaklumkan oleh kerajaan bahawa bil subsidi bahan api telah naik sehingga RM4 billion sebulan. Sekadar kiraan kasar, bil subsidi kerajaan setahun boleh mencecah sehingga RM48 billion sebulan, lebih tinggi berbanding jumlah bil subsidi bahan api kerajaan pada tahun 2022 (RM45 billion).

Kiraan ini tidak mengambil kira kemungkinan harga minyak dunia yang boleh meningkat lagi, bergantung kepada keadaan semasa di Selat Hormuz dan kemampuan operasi pengeluaran dan pemprosesan minyak di sana untuk kembali normal.

Sekiranya subsidi bahan api sahaja sudah mencecah RM48 billion, ini bermakna kerajaan hanya tinggal RM1 billion sahaja untuk subsidi lain serta bantuan tunai, termasuklah bantuan STR kepada golongan rentan.

Sekiranya kerajaan mengawal harga minyak dengan memberikan subsidi secara pukal, maka benar kerajaan ini akan gawat. Gawat kerana hasil kita tidak mampu menampung beban subsidi yang lebih daripada ini. Jikalau kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi pukal, kerajaan perlu potong perbelanjaan-perbelanjaan lain yang berjumlah RM70 billion. Ini termasuklah biasiswa kerajaan dan operasi asas kerajaan yang lain.

Kerajaan boleh untuk tidak potong perbelanjaan-perbelanjaan ini, dengan syarat ada tambahan hasil yang besar daripada dividen Petronas (RM20 billion) untuk menampung kenaikan bil subsidi kelak.

Sungguhpun begitu, kita belum dapat maklumat berapa banyak sebenarnya untung yang dijana oleh Petronas saat ini, memandangkan pendapatan Petronas hanya sekitar 20% sahaja melalui sumber minyak mentah, yang lainnya gas.

Saya merasakan bahawa sekiranya kerajaan memberikan subsidi tambahan keatas subsidi sedia ada, nescaya bil subsidi secara keseluruhan akan melebihi dividen Petronas itu sendiri. Saya mungkin betul & mungkin juga salah.

Subsidi yang kita nikmati hari ini adalah legasi dari zaman Ayahanda Tun Mahathir. Benar kata Datuk, zaman beliaulah yang memperkenalkan harga subsidi dan kiraan Automatic Price Mechanism (APM) digunakan sejak zaman beliau ketika menjawat jawatan sebagai PM4.

Namun Datuk, hakikatnya adalah subsidi ini yang membuatkan kewangan kerajaan menjadi sempit, sehinggakan kerajaan-kerajaan sebelum ini terus berhutang besar bagi tujuan pembangunan negara.

Ini kerana, dalam RM1.5 trillion hasil yang disumbangkan oleh Petronas kepada kerajaan dalam bentuk cukai & dividen, RM750 billion telah dibelanjakan untuk subsidi bahan api sahaja. Bil subsidi bahan api kerajaan kerajaan yang pada tahun 2000 adalah sebanyak RM4.8 billion, naik setiap tahun sehinggalah RM45 billion pada tahun 2022 sebelum menurun sehingga tahun lepas.

Saya percaya Datuk mengerti bahawa, sekiranya kerajaan tidak mengamalkan budaya subsidi ini sejak dahulu, tentu sekali negara tidak perlu menambah hutang seperti mana yang berlaku sejak pasca 1998, iaitu kali terakhir belanjawan kerajaan ada lebihan.

Sekiranya budaya subsidi ini tidak diperkenalkan dahulu, mungkin lebih banyak subsidi yang kerajaan boleh berikan kepada rakyat dalam keadaan krisis dunia sebegini.

Oleh kerana keperluan berhutang ini jugalah, kerajaan terpaksa menanggung RM58 billion faedah keatas hutang yang wajib dibayar meskipun dalam keadaan kerajaan tidak punya wang, sekaligus merencatkan kebolehupayaan kerajaan berbelanja.

Tetapi, orang putih kata “dont cry over spill milk under the bridge”. Perkara itu sudahpun berlaku, dan langkah kehadapan ini adalah kita perlu bina negara dengan memastikan kedudukan fiskal itu utuh.

Berkenaan penambahan hutang baharu pula Datuk, setiap tahun hutang kita bertambah selagi mana belanjawan kita ada defisit. Pengurangan prinsipal hutang hanya boleh berlaku sekiranya kerajaan mencatatkan lebihan belanjawan. Dalam keadaan semasa, sukar untuk perkara itu berlaku.

Meskipun begitu, pinjaman baharu bersih kerajaan ketika ini menurun saban tahun.

𝟐𝟎𝟐𝟑: 𝐑𝐌𝟗𝟐.𝟗 𝐛𝐢𝐥𝐢𝐨𝐧

𝟐𝟎𝟐𝟒: 𝐑𝐌𝟕𝟓.𝟏 𝐛𝐢𝐥𝐢𝐨𝐧

𝟐𝟎𝟐𝟓: 𝐑𝐌𝟕𝟓.𝟓 𝐛𝐢𝐥𝐢𝐨𝐧

Ini menunjukkan bahawa ada usaha, walaupun sedikit untuk memastikan kedudukan fiskal negara kembali berada dalam keadaan sihat.

Malah, kertas-kertas hutang yang dibeli oleh GLIC negara seperti KWSP, TH & KWAP ini bukanlah merugikan rakyat. Malah, faedah yang dijana melalui pinjaman inilah yang menjadi sebahagian daripada keuntungan mereka.

Tambahan, pasaran bon negara kita merupakan pasaran bon antara yang terbaik di Asia. Pemegang kertas hutang kerajaan oleh dana asing sahaja ada sekitar RM287 billion. Ini bermakna, pelabur asing sememangnya ada kepercayaan yang tinggi untuk kerajaan membayar prinsipal dan faedah hutang mereka.

Terakhir, saya rasa Datuk lebih memahami bahawa sumber kerajaan sememangnya datang daripada hasil, sama ada cukai mahupun bukan cukai. Apabila kita cakap soal hasil kerajaan, tanpa cukai, tentu sekali kerajaan sudah separa lumpuh. Kerajaan kita hanya mampu bergerak kehadapan hanya dengan cukai. Kita bukan lagi hidup di zaman sumber minyak dan pemberian dividen Petronas mampu menampung sebilangan besar keperluan kerajaan untuk berbelanja. Juga, ini tidak terhad kepada kerajaan sedia ada, tetapi juga kerajaan kemudian yang akan memerintah.

Benar apa yang Datuk katakan, kita sememangnya dalam keadaan “gawat”. Gawat yang berpunca polisi-polisi sebelum ini yg membawa kepada keborosan. Justeru, kita perlu sedar bahawa subsidi bahan api ini ada had nya.


***Penulis adalah penganalisis ekonomi dan sentiasa mengupas isu terkini di media sosialnya manakala hantaran di atas bagi menjawab persoalan yang dikemukakan oleh bekas wartawan, Datuk A Kadir Jasin

Anda Mungkin Berminat