Yakin dan percaya, saya senang kerjasama dengan Anwar – Abang Jo

PETALING JAYA: Tanpa berselindung, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan rasa amat senang kerjasama yang terjalin dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya lagi, Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri itu masih ‘manis’ sebagaimana pada masa ia ditubuhkan pada 1963.

Beliau berkata Anwar banyak membantu usaha-usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Senang ini adalah disebabkan oleh yakin dan percaya satu sama lain. Macam saya kata, kita sentiasa bersatu padu menyokong kerajaan membangunkan wilayah kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat di Rumah Robert Edmund, Nanga Sebatu di sini sempena lawatan Anwar ke Kapit.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi menyifatkan Anwar dan Abang Johari sebagai satu gandingan penuh keserasian dan hormat-menghormati.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya melihat dua sosok ini memliki persefahaman yang utuh untuk memulihkan dan mengangkat semula martabat Malaysia yang pernah dikenali sebagai ‘Harimau Asia’.

Kejayaan yang dicapai Sarawak pada masa ini mengikut beliau tidak dapat berdiri sendiri tanpa kestabilan pentadbiran kerajaan pusat.

Beliau berkata kestabilan itu adalah hasil kejayaan usaha Anwar membawa Malaysia melakar landskap politik baharu.

Anda Mungkin Berminat