Yang Menang Mesti Rangkul Yang Kalah – Nurul Izzah

JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menekankan kepentingan perpaduan dalam parti selepas pemilihan.

Beliau menyeru kepimpinan dan anggota untuk merangkul semua pihak demi perjuangan reformasi yang inklusif dan berprinsip.

“Yang menang kena pastikan mereka juga merangkul yang tidak menang,” katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR 2025 di Persada International Convention Centre.

Menegaskan keperluan sikap berlapang dada, Nurul Izzah mengingatkan bahawa PKR kini merupakan sebahagian daripada kerajaan, bukan lagi pembangkang.

Justeru, katanya, setiap tindakan dan pendekatan parti perlu mencerminkan nilai ketamadunan serta tanggungjawab.

Beliau turut menegaskan pentingnya ketegasan dalam soal integriti dan akauntabiliti dengan memberi amaran agar tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam pecah amanah atau salah laku.

“Kita kena teliti. Kalau ada rekod pecah amanah atau salah laku, jangan kompromi. Ini demi kelangsungan parti,” tegasnya.

Selain itu, Nurul Izzah menyeru agar komunikasi dasar-dasar kerajaan diperkukuh supaya lebih mudah difahami rakyat, sekali gus menangani cabaran persepsi terhadap Kerajaan Madani.

Menutup ucapannya, beliau menetapkan sasaran untuk menawan 13 kerusi di Sabah pada pilihan raya akan datang serta meminta sokongan jentera dari seluruh negara sebelum beliau menunaikan ibadah haji dalam masa terdekat.

Anda Mungkin Berminat