Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak berselindung atau menyembunyikan mana-mana pihak yang terlibat dengan skandal rasuah, kuasa dan konflik moral.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa kementeriannya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dapat dijalankan dengan bebas, telus dan berkesan.
“Beberapa minggu lepas, telah terjelma pelbagai tuduhan dan kenyataan berkaitan individu-individu tertinggi ATM (Angkatan Tentera Malaysia) yang terlibat dalam amalan rasuah, salah guna kuasa dan kegelinciran integriti.
“Kita telah pun membuka pintu Kementerian ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan seluas-luasnya.
“Saya sendiri telah bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada minggu lepas dan menjamin bahawa seluruh kementerian akan berganding bahu bersama SPRM untuk membasmi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa di Kementerian Pertahanan dan ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika sesi penerangan menteri pertahanan berkaitan isu-isu terkini rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM di sidang parlimen, Dewan Rakyat pada Rabu.
Ekoran itu katanya, kesemua skandal terbabit secara tidak langsung telah menyebabkan wibawa dan keutuhan ATM telah dipersoal malah diragui oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Bila semuanya menjadi perkara yang diperbahaskan di khalayak umum, yang tercedera bukan sahaja Angkatan Tentera Malaysia, tetapi juga imej dan wibawa Malaysia sebagai sebuah negara,” katanya.
Dalam nada tegas, beliau berkata apa jua perbuatan jenayah berkaitan integriti dan moral, terutamanya rasuah dan salah guna kuasa, tidak boleh dianggap sebagai penyelewengan dan salah laku pentadbiran.
“Sebaliknya, ianya adalah satu ancaman besar terhadap keselamatan negara.
“Saya ulangi, rasuah dan apa sahaja bentuk kompromi terhadap integriti adalah ancaman terhadap keselamatan nasional.
“Negara ini akan hancur dan lumpuh, jika musuh ATM adalah ‘orang dalaman,” katanya.
Kata beliau, Kementerian Pertahanan sedang mengambil tindakan drastik untuk memerangi segala kegelinciran integriti dan penyalahgunaan kuasa.
“Ia tidak akan membezakan sesiapa, yang paling tinggi hingga yang paling bawah, akan kehilangan kehormatan sebagai seorang pahlawan jika didapati bersalah.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa sistem pertahanan nasional Malaysia tetap utuh, berfungsi sebaiknya dan tidak terjejas dengan segala skandal kebelakangan ini.
“Tiada sama sekali berlakunya apa jua gangguan terhadap operasi pertahanan negara, Kesiapsiagaan sistem pertahanan kita adalah pada tahap terbaik dan sama sekali tidak terjejas,” jelas beliau.
Ini kerana katanya ATM, pada asasnya, masih berfungsi sebagai sebuah institusi pertahanan nasional yang hebat, unggul dan berfungsi dengan baik, yang menyumbang secara langsung kepada kestabilan negara, kepada kemakmuran ekonomi, dan kepada keamanan yang sedang kita nikmati hari ini.
“Saya menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat Malaysia agar bersikap munasabah dan berkeadilan dalam kritikan serta teguran terhadap ATM,” ujarnya.
Beliau berharap agar seluruh rakyat tidak lagi menghukum ATM sehingga mengganggu motivasi dan moral anggota perkhidmatan pertahanan kita.
“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan kebenaran dan keadilan itu seiring dan saling mendukung,” katanya.
Baca juga:








