ISKANDAR PUTERI: Genap sedekad sejak penubuhannya, Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) terus teguh mengangkat legasi perjuangan Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor, yang pernah melalui perjalanan penuh cabaran sebagai seorang pejuang kanser.
Dalam Titah Diraja bersempena Majlis Penghargaan Sedekad Prihatin di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah bahawa inspirasi penubuhan yayasan itu lahir daripada ketabahan Almarhum menghadapi penyakit yang meragut nyawanya.
Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa selepas sepuluh tahun, legasi Almarhum bukan sahaja kekal dalam ingatan rakyat Johor tetapi terserlah dalam setiap bantuan, harapan dan sokongan yang disalurkan yayasan kepada ribuan pesakit kanser di seluruh negeri.
“Yayasan ini tidak mungkin sampai ke tahap ini tanpa sokongan padu daripada para penaja, penyumbang, serta rakan strategik yang setia bersama-sama yayasan sejak awal penubuhannya.
“Setiap sumbangan yang dihulurkan bukan sekadar angka tetapi merupakan tanda keprihatinan dan kasih sayang terhadap insan-insan yang sedang diuji dengan penyakit kanser,” titah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Majlis penuh penghargaan itu turut diserikan dengan keberangkatan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan YAM Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, melambangkan sokongan berterusan keluarga diraja terhadap usaha yayasan.
Dua tayangan video turut mencuri tumpuan hadirin, di mana satu memaparkan kejayaan YKTLJ dalam membantu pesakit kanser, iaitu Puan D. Rajaletchumy (kanser payudara dan tulang) serta Kamarolzaman Ahmad Shahimi (kanser kolorektal).
Sebuah lagi video berjudul ‘Fight Like Me’ hasil produksi Royal Press Office (RPO) menampilkan kisah individu yang pernah bersama Almarhum Tunku Abdul Jalil, berkongsi pengalaman dan semangat perjuangan beliau.







