Yayasan Sultan Ibrahim Johor hulur 630 kit bantuan banjir

JOHOR BAHRU: Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Johor dengan menyumbangkan 630 kit bantuan bencana bagi meringankan beban mereka yang terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Mohd Anizam Jamian, menyerahkan bantuan itu kepada Pegawai Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Leftenan Mohd Syafiq Md Zabri, sebelum diagihkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.

YSIJ turut menyumbangkan 1,000 helai selimut dan 800 lampin pakai buang kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor sebagai sebahagian daripada inisiatif pasca bencana. Sumbangan itu diterima oleh Pengarah JKM negeri, Ahmad Hashim Selamat.

“Kami amat menghargai kerjasama yang terjalin antara YSIJ dan JKM dalam membantu rakyat Johor yang terkesan, terutamanya ketika musim banjir,” kata Ahmad Hashim kepada Pejabat Akhbar Diraja Johor.

Johor mula dilanda sejak semalam berikutan hujan lebat berterusan. Setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir di Johor telah berkurang kepada 9,646 orang daripada 2,709 keluarga yang masih berlindung di 91 PPS di lima daerah.

Johor Bahru kekal sebagai daerah paling terjejas dengan 3,273 mangsa, diikuti Kluang (2,064), Pontian (1,395), Kota Tinggi (1,171) dan Kulai (1,152).

Dua laluan di Kota Tinggi, iaitu Jalan Lukut Cina di Taman Aman dan Jalan Mawai Lama, masih ditutup sepenuhnya akibat arus deras, menyukarkan pergerakan penduduk di kawasan terjejas.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat