KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini memberi amaran tegas bahawa budaya hedonisme tidak bermoral dan bercanggah dengan nilai akhlak dalam kem-kem tentera tidak akan ditoleransi, malah mereka yang terbabit berdepan tindakan tegas termasuk disingkirkan daripada perkhidmatan.
Beliau menegaskan, tiada mana-mana wanita wajar dijadikan objek seks atau hiburan di mess pegawai mahupun Wisma Perwira.
“Tidak kira apa istilah yang digunakan, sama ada ‘yeye’, ‘yaya’ atau seumpamanya, perbuatan itu tetap keji, tidak bermoral dan bercanggah dengan cara hidup Islam.
“Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah lama mengharamkan aktiviti tidak bersahsiah ini di semua kem di seluruh negara, selain menetapkan peraturan serta garis panduan yang jelas berkaitan aktiviti sosial yang dibenarkan,” katanya.
Menurut beliau, penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) sepatutnya berperanan membendung sebarang unsur mungkar dalam kalangan anggota, justeru kegiatan haram dan tidak bermoral tidak seharusnya lagi berlaku di mana-mana kem ATM.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa sebarang bentuk pencabulan hak asasi tidak boleh diterima dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat.
“Kepada sesiapa sahaja yang terbabit dalam kemungkaran moral yang mencemarkan imej ATM, kita akan pastikan mereka dikenakan hukuman dan disingkirkan daripada perkhidmatan.
“Sebelum ini, kita tidak pernah teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas serta menjatuhkan hukuman berat terhadap pelaku kesalahan sedemikian,” katanya.
Beliau menambah, amaran tersebut bukan sekadar peringatan kosong dan terpakai kepada mana-mana pihak yang cuba merosakkan imej MINDEF dan ATM.
Selain itu, Mohamed Khaled turut mengingatkan anggota agar mematuhi disiplin kerja, termasuk tidak menghabiskan masa bermain golf di luar waktu dibenarkan atau bersembang kosong di kedai kopi ketika waktu bekerja.
“Masa bekerja perlu dimanfaatkan untuk tugas yang membangun dan berfaedah. Kembalilah kepada waktu kerja sebenar dan laksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen.
“Kita juga perlu kembali kepada perlakuan sebagai pahlawan yang berbudiman. Waktu bekerja bukan untuk bersosial di media sosial, dan setiap pandangan yang dikongsi perlu mencerminkan etika sebagai anggota pertahanan negara,” katanya.
Baca juga:








