‘You Touch You Go’ enam pelajar MRSM Melaka dicadang buang kerana buli – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: Enam pelajar Tingkatan Lima sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Melaka digantung serta dicadangkan untuk dibuang sekolah susulan penglibatan mereka dalam kes buli.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, namun beliau tidak menyatakan secara terperinci bentuk kejadian buli atau lokasi MRSM yang terlibat.

“Pagi-pagi lagi ramai tag perihal insiden buli yang berlaku di salah sebuah MRSM di Melaka. Terus saya minta laporan dari pengurusan MARA. Enam pelajar Tingkatan Lima terlibat buli digantung dan dicadang untuk dibuang. Tak perlu merayu. #YouTouchYouGo,” tulisnya di Facebook.

Beliau turut menegaskan pendirian tegas MARA untuk tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk buli, malah arahan telah diberikan supaya tiada rayuan diterima daripada pelajar terlibat.

“Bahkan tidak perlu juga bersusah payah nak berjumpa saya untuk merayu. Sudah banyak kali diperingatkan bahawa MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk buli,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, MARA bertanggungjawab melahirkan generasi berakhlak dan beradab, bukannya pelajar yang merosakkan nilai agama dan ketamadunan.

“Saya berazam menjadikan MRSM dan semua institusi pendidikan MARA sebagai zon bebas buli, insya-Allah,” tegasnya.

Untuk rekod, pada April lalu, Jawatankuasa Disiplin MRSM turut mengesyorkan tujuh pelajar MRSM Nibong Tebal, Pulau Pinang ditamatkan pengajian selepas disabitkan dengan kes buli.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat