Young Syefura Sokong Turun Had Usia Saringan HIV Kepada 16 Tahun

PETALING JAYA: Cadangan Majlis AIDS Malaysia (MAC) supaya had usia saringan HIV dikurangkan daripada 18 kepada 16 tahun mendapat sokongan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, susulan peningkatan membimbangkan kes jangkitan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut beliau, saringan awal amat penting bagi memastikan pengesanan dan rawatan segera dapat diberikan kepada individu yang terkesan.

“Saya menyokong saranan MAC agar had umur saringan HIV diturunkan kepada 16 tahun dan meminta kerajaan mempertimbangkan untuk mewajibkan saringan dalam kalangan pelajar IPT.

“Namun, aspek kerahsiaan perlu diberi perhatian bagi melindungi pelajar daripada stigma negatif dan memastikan mereka berani tampil mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kepada statistik yang menunjukkan trend peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar berumur 18 hingga 25 tahun dengan 214 kes dicatatkan pada 2020, 186 kes (2021), meningkat kepada 221 kes (2022) dan 244 kes pada 2023.

Young Syefura turut menekankan keperluan menangani dua isu utama yang didakwa menyumbang kepada situasi itu, iaitu pengaruh pornografi dan budaya tidak sihat dalam kalangan remaja serta kurangnya pendidikan seksual dan kesedaran kesihatan reproduktif.

Beliau berkata, menangani isu itu bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, malah menuntut peranan aktif ibu bapa dan institusi pengajian tinggi.

“Ibu bapa perlu pantau aktiviti anak-anak dan kawan-kawan mereka di universiti serta galakkan mereka membuat saringan HIV.

“Pihak universiti pula perlu terus giat melaksanakan kempen kesedaran dan menganjurkan aktiviti yang membina serta menjauhi pergaulan bebas yang boleh membawa kepada seks bebas dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau turut menyeru agar para pelajar tidak menggadaikan masa depan dengan terjebak dalam gejala sosial.

“Anda adalah harapan negara. Tumpukan kepada pembelajaran dan bina kemahiran hidup untuk menghadapi cabaran masa depan yang semakin mencabar,” katanya.

Anda Mungkin Berminat