YSIJ Sumbang 500 Peralatan Sekolah Kepada Murid Pasir Gudang

JOHOR BAHRU: Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) terus komited membantu pendidikan apabila menyumbang 500 unit peralatan sekolah kepada murid-murid di daerah Pasir Gudang.

Sumbangan itu melibatkan murid daripada sembilan sekolah kebangsaan, termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang dikenal pasti memerlukan bantuan.

Penyerahan disempurnakan oleh Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Datuk Avinderjit Singh kepada Timbalan PPD Pasir Gudang (Sektor Pembangunan Murid), Baharudin Ishak sebelum diagihkan kepada murid yang layak.

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Mohd Anizam Jamian yang menyatakan komitmen yayasan untuk terus menyokong pendidikan murid Johor.

Dalam ucapannya, Baharudin merakamkan penghargaan kepada YSIJ atas sumbangan yang disifatkan mampu memberi suntikan semangat kepada murid.

“Sumbangan ini bukan sahaja meringankan beban, bahkan memberikan semangat baharu kepada anak-anak kita untuk terus belajar dengan lebih yakin dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Turut disampaikan ialah 400 pek makanan oleh QSR Brands (M) Holdings Bhd kepada murid yang hadir pada majlis tersebut di Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 1.

Inisiatif ini menggambarkan usaha berterusan YSIJ dan rakan strategik membantu murid kurang berkemampuan, sejajar dengan agenda kebajikan negeri Johor.

YSIJ sebelum ini turut melaksanakan pelbagai program sokongan pendidikan, termasuk bantuan buku, kelengkapan sekolah dan program pembangunan murid di seluruh Johor.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat