RIO DE JANEIRO: Detik gemilang tercipta buat Malaysia apabila Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin melakar sejarah sebagai juara dunia pertama negara dalam sukan berbasikal para.
Pelumba berusia 28 tahun itu menewaskan pencabar dari Great Britain dan Australia dalam acara pecut 200 meter kategori MC1 di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil.
Ia merupakan satu pencapaian luar biasa yang mengangkat nama Malaysia ke pentas tertinggi dunia.
Kemenangan berprestij itu turut melayakkan Yusof Hafizi menerima jersi pelangi, simbol tertinggi dalam dunia berbasikal yang hanya diberikan kepada juara dunia.
Detik bersejarah itu bukan sahaja menjadi lambang kebangkitan sukan para negara, malah mencerminkan hasil usaha berterusan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Berbasikal Malaysia (PBM) dalam membina bakat dan menyediakan sokongan berterusan kepada atlet para.
Kejayaan beliau di Brazil menjadi inspirasi buat seluruh komuniti sukan para dan satu bukti bahawa dengan ketekunan dan semangat juang, tiada batasan untuk mencapai kejayaan dunia.








