PETALING JAYA: Arena bola sepak negara dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu disahkan menerusi kenyataan rasmi FAM selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025–2029 yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Rabu.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.
“Jawatankuasa Eksekutif menghormati keputusan Datuk Joehari dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala sumbangan, jasa dan dedikasi beliau sejak bersama FAM,” kata FAM dalam satu kenyataan.
Joehari mula menyertai FAM sebagai Naib Presiden pada tahun 2017 sebelum dilantik sebagai Presiden pada 15 Februari lalu, menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Walaupun tempoh perkhidmatannya sebagai Presiden agak singkat, beliau tetap dikenang atas komitmen dan usaha memperkasakan bola sepak tempatan.
“Kami amat terharu dengan komitmen dan usaha beliau dalam memperkasakan bola sepak tempatan, meskipun tempoh perkhidmatannya sebagai Presiden agak singkat,” kata kenyataan itu lagi.
Susulan peletakan jawatan tersebut, FAM memaklumkan bahawa kekosongan jawatan Presiden akan dipangku oleh Timbalan Presiden paling lama berkhidmat sehingga Kongres pemilihan baharu diadakan tahun depan.
“Berdasarkan peraturan itu, Datuk Wira Mohd Yusoff dinamakan sebagai Pemangku Presiden FAM, berkuat kuasa serta-merta,” tambah kenyataan itu lagi.
Pelantikan Yusoff sebagai pemangku Presiden dilihat sebagai langkah segera untuk memastikan kesinambungan kepimpinan dalam badan induk bola sepak negara, sementara FAM bersiap sedia menghadapi Kongres pemilihan yang dijadualkan tahun hadapan.