PETALING JAYA: Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusuf Azmi, tampil memohon maaf secara terbuka atas tindakan mempromosikan Kejohanan Warzone World Championship (WWC) dengan gimik keterlaluan yang mencetuskan pelbagai reaksi, baru-baru ini.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi satu klip video yang dimuat naik di laman sosial rasminya pada Selasa.
Dalam video tersebut, Yusuf mengakui kesilapan yang berlaku dan berjanji tidak akan mengulanginya.
“Saya mohon maaf kepada semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan serta semua yang terlibat dalam sukan kombat seperti ini.
“Saya tiada niat lain, tiada unsur sengaja dalam promosi itu.
“Ini pengalaman pertama kami menganjurkan kejohanan besar seperti ini dan saya akui ia sekadar gimik semata-mata,” katanya, menjelaskan bahawa pendekatan promosi tersebut tidak disengajakan.
Yusuf turut berkata, segala teguran daripada pihak berkepentingan akan dijadikan pedoman untuk memperbaiki penganjuran acara sukan pada masa akan datang.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua atlet serta persatuan Muay Thai khususnya Alif Rakib, Afiq Masdor dan Johan Ghazali.
“Itu hanya gimik, tiada niat lain. Kami hanya mahu menjadikan kejohanan ini yang terbaik,” jelasnya lagi, sambil menyatakan penghargaan kepada para atlet yang terlibat.








