AUCKLAND: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memulakan lawatan kerja rasmi ke New Zealand bermula hari ini hingga 18 Julai.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik.
Menurutnya, delegasi Malaysia terdiri daripada pegawai kanan Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, JAKOA dan NADMA.
Tambahnya, lawatan itu juga membuka peluang baharu dalam pembangunan komuniti peribumi khususnya melalui pertemuan Zahid bersama Menteri Pembangunan Māori, Tama Potaka.
“Kita ingin belajar daripada pengalaman New Zealand dalam melindungi hak serta memajukan komuniti peribumi mereka, agar dapat diterapkan dalam konteks pembangunan Orang Asli di Malaysia,” katanya.
Sepanjang lawatan, beberapa pertemuan penting dijadualkan bersama kepimpinan utama negara tersebut.
Antara acara utama ialah kunjungan hormat kepada Gabenor Jeneral New Zealand, Dame Cindy Kiro serta mesyuarat dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri New Zealand, David Seymour.
Kedua-dua pihak juga akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Perkiraan dalam bidang pendidikan tinggi.
Bagi menyokong agenda pendidikan dan latihan teknikal (TVET), Zahid turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Dr Shane Reti serta Menteri Pertanian, Todd McClay untuk meneroka kerjasama dalam sektor pertanian dan kemahiran teknikal.
Selain itu, beliau akan menghadiri sesi bersama Majlis Perniagaan ASEAN–New Zealand dan Sesi Meja Bulat Halal yang melibatkan pemain industri utama New Zealand.
Turut dijadualkan adalah pertemuan dengan Kumpulan Persahabatan Parlimen ASEAN–New Zealand.
Lawatan itu merupakan kesinambungan kepada pengukuhan hubungan dua hala Malaysia–New Zealand yang telah ditingkatkan ke tahap Perkongsian Strategik pada tahun 2023.
Pada tahun lalu, jumlah dagangan dua hala kedua-dua negara mencecah RM10.72 bilion, menjadikan New Zealand rakan dagang penting Malaysia di rantau Pasifik.