Zahid lahir rasa syukur, kekal bebas 40 kes rasuah

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disahkan bebas daripada 40 tuduhan rasuah berkaitan syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

Mahkamah Rayuan hari ini membuat keputusan itu setelah Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik semua rayuan kes tersebut.

Pengerusi panel hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali mengumumkan pembatalan rayuan tersebut.

“Setelah AGC menarik balik rayuan-rayuan terhadap responden, dengan ini mahkamah membatalkan rayuan,” katanya.

Sejurus selepas keputusan itu, Zahid menyatakan kesyukurannya atas keputusan ini melalui akaun Facebook miliknya.

“Alhamdulillah,” tulisnya ringkas.

Pada Jun 2019, Zahid didakwa atas 40 tuduhan rasuah melibatkan SG$13.56 juta (RM47.08 juta) daripada UKSB untuk menyambung kontrak sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Zahid setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Pendakwaan memfailkan petisyen rayuan pada 29 Disember tahun lalu, namun akhirnya menarik balik rayuan tersebut.

Anda Mungkin Berminat