PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO tidak akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sebaliknya kekal bersama gabungan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, UMNO akan terus memperkukuh kerjasama dengan parti komponen BN iaitu MCA, MIC, dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sekali gus mempererat hubungan strategik bersama Pakatan Harapan (PH) demi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka dalam PRU16.
Tambah Zahid, kekalahan UMNO dalam pilihan raya lalu merupakan akibat daripada tindakan bertanding secara solo tanpa sokongan daripada gabungan politik yang kukuh.
“Kenapa kita kalah ketika itu? Kerana kita hanya melihat dari sudut kepentingan sendiri. Kita buat keputusan bertanding solo, walhal UMNO dan BN sejak dahulu tidak pernah bergerak sendirian,” katanya, memetik berita tempatan.

Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika berada di Johor baru-baru ini, di mana terdapat suara akar umbi yang menyarankan agar UMNO bertanding solo. Namun tegasnya, cadangan itu bukan keputusan muktamad.
Sebagai Pengerusi BN, beliau turut memaklumkan bahawa beberapa bahagian UMNO telah meluluskan resolusi untuk terus kekal bersama rakan gabungan dan tidak bertindak secara bersendirian.
“InsyaAllah, kita tetap bertanding atas lambang dacing, lambang Barisan Nasional. Saya isytiharkan hari ini di hadapan para perwakilan UMNO, kita tidak akan bertanding solo,”, katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan bahawa kekalahan sebelum ini turut berpunca daripada kegagalan menyelaras strategi dengan rakan-rakan dalam BN dan PH. Namun beliau optimis, kekuatan akar umbi UMNO mampu menjadi pemangkin kemenangan sekiranya seluruh kepimpinan dan jentera kembali bersatu.
Baca juga: