Zahid seru rakyat kibar Jalur Gemilang, semarak semangat cinta tanah air

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta dan kesetiaan kepada tanah air sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Beliau berkata, sejak negara mencapai kemerdekaan 68 tahun lalu, Jalur Gemilang sentiasa menjadi simbol kedaulatan dan maruah negara, sekali gus menyatukan rakyat berbilang kaum di bawah satu panji.

“Setiap kali kita melihat Jalur Gemilang berkibar, tersemat rasa bangga dan syukur kerana dapat hidup di tanah air yang merdeka, aman dan makmur.

“Inilah keindahan yang perlu kita terus pelihara kerana keharmonian ini adalah kekuatan sebenar negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Parlimen Malaysia 2025 yang berlangsung di Lobi Utama Dewan Rakyat, hari ini.

Majlis itu turut disertai isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, pegawai kerajaan, pelawat serta pelajar sekolah.

Beliau menegaskan semangat kebangsaan perlu terus dipupuk dalam kalangan generasi muda agar nikmat kemerdekaan yang dinikmati ketika ini dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

“Kemerdekaan bukan sekadar sejarah yang tercatat, tetapi amanah besar yang mesti kita wariskan kepada anak-anak kita,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat