Zahid Sokong Penuh Usaha Kerajaan Madani Hadapi Tarif AS

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik langkah proaktif Kerajaan Madani dalam menangani impak tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia.

Beliau memuji pembentukan National Geo-Economic Coordination Centre (NGCC) yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam mempertahankan kepentingan negara serta memastikan daya saing Malaysia di peringkat global.

“Ramai penduduk luar bandar yang bergantung kepada sektor E&E, kelapa sawit, getah dan pertanian, di mana AS merupakan pasaran utama.

“Saya yakin langkah kerajaan untuk berunding serta meneroka pasaran baharu di ASEAN, Timur Tengah dan Asia Selatan adalah penting bagi melindungi pendapatan mereka,” katanya.

Kerajaan juga mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf sempadan Sabah dan Sarawak-Kalimantan serta meningkatkan had sebut harga kepada RM3 juta, yang akan mempercepat pembinaan sekolah, klinik, jalan dan tebatan banjir.

Menurutnya, Malaysia terus menerajui industri Halal dunia dengan nilai eksport mencecah RM61.79 bilion pada 2024, meningkat 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Namun, katanya, kelembapan ekonomi global akibat dasar tarif ini dijangka memberi kesan kepada permintaan terhadap produk Halal.

“Bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab Halal global, kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada MATRADE untuk membantu usahawan desa menembusi pasaran antarabangsa melalui ekspo dan padanan perniagaan,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut memberi perhatian kepada cabaran dalam sektor E&E yang memerlukan modal insan berkemahiran tinggi.

Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, beliau beriltizam untuk memperkukuh institusi TVET agar lebih ramai belia desa mendapat akses latihan berkualiti dalam teknologi AI, teknologi hijau dan pendigitalan.

Lebih menarik lagi katanya, Malaysia kini berada pada landasan kukuh dengan KDNK 5.1 peratus, defisit fiskal menurun dan inflasi stabil.

Ahmad Zahid berkata, setiap langkah yang diambil bertujuan memastikan rakyat khususnya komuniti desa terus teguh menghadapi ketidaktentuan global di bawah kerangka Ekonomi Madani.

Anda Mungkin Berminat