Zahid tegur Pemuda UMNO, Pemuda DAP: Hentikan pertelagahan terbuka

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa Ketua Pemuda partinya, Datuk Dr Akmal Saleh, serta kepimpinan Pemuda DAP supaya menghentikan pertelagahan terbuka yang boleh menjejaskan keharmonian dalam kerajaan perpaduan.

Zahid menegaskan, keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi parti perlu dipatuhi semua pihak tanpa kompromi demi menjaga kesepakatan.

“Kita telah membuat keputusan di peringkat kepimpinan tertinggi. Jangan kerana mahu mempopularkan sesuatu isu atau untuk dilihat paling popular, akhirnya menjejaskan hubungan baik antara parti, apatah lagi di peringkat akar umbi,” katanya dipetik Sinar Harian.

Beliau turut mengingatkan pemimpin Pemuda DAP agar tidak mengorbankan semangat perpaduan dalam gabungan kerajaan hanya kerana perbezaan pendapat politik.

“Kita tidak mahu kerana ada satu peristiwa, keputusan politik dibuat sehingga menggoyahkan kesatuan dalam 18 parti yang membentuk kerajaan Madani,” katanya lagi, sambil menegaskan tindakan politik dan undang-undang tidak sepatutnya dicampuradukkan.

Gesaan itu timbul selepas Pemuda DAP Pulau Pinang mendesak parti itu memutuskan hubungan dengan Akmal, yang didakwa boleh menjejaskan keharmonian negara. Seruan tersebut turut disokong Pemuda DAP Kedah dan Negeri Sembilan.

Kontroversi bermula apabila Akmal mengecam insiden sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, sebelum mengetuai himpunan bersama Pemuda Umno dan Pemuda Bersatu di luar premis berkenaan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai agar tidak takut mengibarkan Jalur Gemilang hanya kerana tindakan segelintir pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen.

“Jangan ambil tindakan bagi pihak polis, Peguam Negara atau hakim. Biarkan pihak berkuasa laksanakan tugas mereka,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat