Zahid Terima Apa Jua Keputusan MIC, Tegaskan Tidak Campuri Urusan Dalaman Parti

PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau terbuka menerima apa jua keputusan MIC sama ada kekal atau meninggalkan gabungan itu, sambil menekankan bahawa beliau tidak akan mencampuri urusan dalaman parti berkenaan.

Zahid berkata, meskipun tidak masuk campur, beliau tetap mengikuti rapat perbahasan dan perkembangan dalam Perhimpunan Agung Tahunan MIC baru-baru ini.

“Saya mengikuti dengan dekat apa yang telah diperbahaskan dalam perhimpunan agung mereka. Saya menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh para perwakilan dan kepimpinan MIC, dan saya tidak berhajat mencampuri hal ehwal dalaman mereka.

“Apa juga keputusan yang akan dibuat mereka… kita dengan berlapang dada dan hati terbuka menerima. Terserah kepada parti berkenaan,” katanya memetik berita tempatan pada Rabu.

Mengulas cadangan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan agar BN mengadakan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi MIC selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Zahid berkata beliau bersetuju dan sentiasa terbuka untuk berdialog.

“Perbincangan itu sebaik-baik pendekatan,” katanya ringkas.

Ahad lalu, perwakilan MIC meluluskan beberapa usul bagi pucuk pimpinan menentukan hala tuju parti, termasuk cadangan keluar BN. Namun Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran memaklumkan bahawa keputusan muktamad ditangguhkan dan diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat serta presiden untuk diperhalusi.

Beliau turut menolak kemungkinan MIC bergerak secara solo, dan menegaskan parti itu hanya akan memilih gabungan baharu sekiranya keputusan menarik diri daripada BN dimuktamadkan.

Vigneswaran turut mendedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkannya supaya mempertimbangkan semula keputusan tersebut memandangkan MIC sudah lama bersama BN sejak sebelum merdeka.

MIC, MCA dan Umno merupakan parti pengasas Perikatan sebelum ia menjadi Barisan Nasional pada tahun 1973.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat