Zaid Ibrahim Dan Soalan Palsu: Bila Acara Rasmi Jadi Drama ‘Panggilan Istana’

Oleh: Team Editorial

PETALING JAYA: Mantan Ahli Dewan Rakyat, Datuk Mohd Zaid Ibrahim sekali lagi muncul dengan gaya kegemarannya iaitu lontaran soalan panjang yang bunyinya intelektual tetapi sebenarnya kosong daripada segi fakta.

Dalam hantaran di media sosial pada 13 Disember lalu, beliau cuba memutar naratif bahawa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Johor berlaku atas ‘panggilan’ Tunku Mahkota Johor, seolah-olah Kerajaan Persekutuan kini tunduk kepada arahan Istana negeri.

Soalan demi soalan disusun rapi, adakah PM wajib hadir setiap kali ‘regent’ meminta, mengapa perbincangan tidak diumumkan, adakah ini amalan baharu menteri ‘menghadap’ secara senyap?

Masalahnya mudah iaitu naratif itu tidak wujud dalam dunia sebenar.

Apa yang Zaid cuba gambarkan sebagai ‘summons istana’ hanyalah acara rasmi negara yang terbuka dan berliputan luas.

Pada 11 Disember 2025, dua hari sebelum hantaran tersebut, Perdana Menteri hadir ke Stesen Kempas Baru, Johor Bahru bagi majlis perasmian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru.

Majlis itu dirasmikan oleh TMJ selaku Pemangku Raja Johor, dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pegawai kerajaan, media dan orang awam.

Tiada mesyuarat sulit. Tiada pertemuan senyap di balik pintu Istana. Tiada ‘dipanggil menghadap’.

Ini bukan urusan tertutup. Ini projek infrastruktur nasional bernilai berbilion ringgit yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Johor Bahru melalui perkhidmatan ETS penuh bermula 12 Disember, memendekkan masa perjalanan dan mengukuhkan kedudukan Johor dalam kerangka Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura.

Tetapi dalam dunia Zaid, rel kereta api pun boleh ditukar menjadi bukti konspirasi.

Lebih memalukan, Zaid seolah-olah gagal memahami asas sistem Raja Berperlembagaan yang sering beliau dakwa mahu pertahankan.

Kehadiran Perdana Menteri dalam majlis yang melibatkan Raja-Raja Melayu atau Pemangku Raja bukan tanda ketundukan tetapi sebahagian daripada protokol negara dan kerjasama Persekutuan–negeri.

Ia berlaku di Johor, berlaku di Perlis, berlaku di Pahang, berlaku di mana-mana negeri yang menjalankan projek pembangunan bersama kerajaan Persekutuan.

Ini bukan amalan baharu. Ini bukan pengecualian Johor. Ini rutin pentadbiran negara.

Zaid cuba mengaburkan garis ini dengan soalan-soalan licik, bukan untuk mencari jawapan tetapi untuk menanam curiga.

Beliau tahu benar bahawa tidak semua urusan negara terutama yang menyentuh aspek strategik, keselamatan, atau hubungan institusi diumumkan secara terperinci kepada umum.

Tetapi hakikat itu sengaja diputar menjadi ‘kekurangan ketelusan’, seolah-olah setiap pertemuan rasmi yang tidak disiarkan minit mesyuaratnya adalah satu kesalahan perlembagaan.

Inilah politik versi Zaid Ibrahim, apabila tiada isu, ciptakan isu; apabila tiada krisis, reka krisis.

Protokol dijadikan konspirasi, adab ditukar menjadi ketakutan dan hubungan institusi digambarkan sebagai ancaman.

Ia bukan analisis undang-undang. Ia propaganda berselindung di sebalik soalan.

Yang lebih ironik, semua ini datang daripada seorang bekas menteri undang-undang yang kini tidak memegang sebarang mandat rakyat tetapi masih mahu bertindak sebagai pengadil moral negara.

Zaid tidak menawarkan solusi, tidak mengemukakan fakta baharu dan tidak membuktikan sebarang pelanggaran perlembagaan.

Yang ada hanyalah insinuasi senjata paling murah dalam politik orang yang semakin kehilangan relevan.

Hakikatnya, 11 Disember bukan hari krisis kuasa. Ia hari perasmian rel kereta api. Ia hari simbol kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan institusi raja untuk manfaat rakyat.

Jika itu pun mahu ditafsir sebagai ancaman, maka masalahnya bukan pada sistem negara.

Masalahnya ialah ‘mindset’ yang memilih khayalan berbanding realiti.

Malaysia terus bergerak ke depan di atas landasan sebenar iaitu fizikal dan perlembagaan.

Yang terperangkap di stesen lama hanyalah mereka yang masih percaya soalan kosong boleh menggantikan fakta.

Anda Mungkin Berminat