PUTRAJAYA: Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) hari ini mengumumkan pelantikan Zainani Jusoh sebagai Akauntan Negara Malaysia (ANM) yang baharu, berkuat kuasa 3 September 2025.
Pelantikan itu disampaikan secara rasmi oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar pada 27 Ogos lalu, menggantikan penyandang terdahulu yang bersara wajib sehari sebelumnya.
Anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini bukan nama asing dalam dunia perakaunan awam.
Beliau merupakan Akauntan Bertauliah dan ahli kepada dua badan profesional utama iaitu Malaysian Institute of Accountants (MIA) dan The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA).
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia, Zainani memulakan kerjaya awamnya pada tahun 1994 sebagai Akauntan di Pasukan Petugas Sistem Perakaunan Mikro, JANM.
Antara pencapaian paling signifikan beliau ialah usaha menukar sistem perakaunan manual di kedutaan Malaysia luar negara kepada sistem digital.
“Perubahan yang besar ini membantu pengurusan kewangan di semua kedutaan Malaysia dapat diuruskan dengan lebih cekap, tepat dan cepat”,” kata JANM dalam satu kenyataan.
Sebelum menjawat jawatan Timbalan Akauntan Negara (Korporat) pada September 2023, beliau pernah mengetuai Bahagian Khidmat Perunding JANM dan Bahagian Akaun Kementerian Kewangan.
Atas kecemerlangan perkhidmatannya, beliau telah dianugerahkan darjah kebesaran Bentara Setia Mahkota sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada tahun 2015.
JANM merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Zainani.
“JANM ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada pihak Kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Zainani Jusoh bagi menggalas tugas dan amanah sebagai ANM bermula dari 3 September 2025,” kata kenyataan itu.