PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa memuji Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana menguruskan bazar Ramadan tahun ini dengan lebih adil untuk peniaga.
Menyusuli aduan mengenai harga petak yang tinggi, beliau berkata, DBKL mengambil alih pengurusan daripada pihak ketiga.
“Tahun ini, DBKL menetapkan sewa petak pada RM500 termasuk cagaran RM200 yang akan dikembalikan jika peniaga mematuhi peraturan. Kos sebenar menyewa petak adalah RM300.
“Saya bertemu peniaga yang melahirkan rasa syukur dan ada yang sudah balik modal.
“Tahniah, DBKL kerana merealisasikannya!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook selepas membuat tinjauan di Bazar Ramadan Wangsa Maju, semalam.
Selain itu, kata Zaliha, DBKL mewajibkan peniaga mengambil suntikan typhoid untuk mencegah penyebaran bakteria dan memastikan peniaga hanya menyewa satu petak serta berada di tapak bazar.
“Sebelum ini, pengurusan pihak ketiga membolehkan peniaga menyewa banyak petak dan menyewakan semula pada harga tinggi dan merugikan peniaga kecil tempatan,” ujar Zaliha.
Pengunjung juga memuji pengurusan yang lebih baik dan harga jualan yang berpatutan kata Zaliha yang turut disertai pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bagi mengawal harga agar tetap adil.