Zambry harap masalah air UMS selesai Mac depan

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membuat kenyataan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan masalah air yang dihadapi pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diselesaikan selewat-lewatnya pada Mac depan.

“Jaminan ini diberi oleh pihak pengurusan UMS sendiri dan ia mahu direalisasikan.

“Saya juga hendak ia diselesaikan pada kadar segera meskipun saya memahami pihak kerajaan negeri dan universiti memerlukan tempoh untuk memasang fasiliti yang diperlukan.

“Namun masa yang diperlukan untuk selesai tidaklah sampai setahun kerana masa itu sudah terlalu panjang,” katanya.

Zambry turut menyampaikan rasa simpati terhadap nasib pelajar yang terkesan dengan masalah air di UMS, terutama apabila berjumpa dengan pelajar yang membawa plakad menyatakan masalah tersebut ketika beliau mengunjungi universiti berkenaan.

“Mereka sudah berdepan dengan masalah ini sejak 2021, maka sewajarnya pihak universiti jadikan isu ini sebagai keutamaan untuk diselesaikan,” katanya ketika beramah mesra dengan pemimpin masyarakat di Kampung Merlimau Pantai, Jasin, Melaka, pada Selasa, lapor Berita Harian.

Zambry turut mengadakan lawatan ke Kolej Komuniti Jasin serta Politeknik Merlimau, Melaka.

Turut hadir di lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, ADUN Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis, serta ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat