PETALING JAYA: Pemergian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir telah menyentuh hati rakyat Malaysia, menyatukan mereka merentasi sempadan dan perbezaan demi menuntut keadilan.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar ketika menemui ibu Allahyarhamah, Noraidah Lamat, berikrar untuk meneruskan perjuangan sehingga pihak yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.
“Saya tidak akan berhenti memperjuangkan sehingga orang yang bertanggungjawab menerima hukuman yang setimpal serta persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Dalam pertemuan penuh emosi itu, Nurul Izzah menyifatkan Noraidah sebagai seorang ibu yang tidak tertanggung kesedihan atas kehilangan anak tersayang.
“Sebagai seorang ibu, saya benar-benar merasa kesedihan yang ditanggung oleh ibu kepada adik Zara.
“Dia (Noraidah) hanya mahu melihat Zara membesar seperti biasa, sihat dan ceria.
“Zara seperti anak kita semua. Peribadinya sopan, akhlaknya mulia dan merupakan seorang yang berpegang teguh pada ajaran agama,” katanya.
Nurul Izzah turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus memantau rapat perkembangan kes melalui pengumuman rasmi pihak berkuasa.
Baginya, setiap anak berhak membesar dalam suasana yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.
“Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk terus cakna, melindungi dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang lagi.
“Teruskan berdoa, usaha dan tawakal supaya keadilan dan kebenaran ditegakkan serta roh anakanda Zara ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” ujarnya.