Nama penghibur terkenal, Ziana Zain tidak perlu diperkenal sementelah beliau sendiri lebih dua dekad dalam industri.
Memiliki pengalaman luas dalam industri hiburan, Ziana Zain dilantik sebagai duta rasmi CSA Adacemy yang selari dengan idealogi untuk membantu merancang kewangan lebih lancar.
Pelantikan pemilik nama sebenar Siti Roziana Zin, 55, yang dikenali peminat daripada pelbagai bangsa membuatkan pelantun lagu Madah Berhelah itu dipilih.
Kata Ziana, beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu tanda penghormatan bukan hanya untuk dirinya, tetapi mempunyai tanggungjawab besar untuk menyebarkan informasi tentang pengurusan kewangan atau beban hutang yang perlu diwar-warkan kepada semua.
“Saya melihat pelantikan sebagai duta ini sebagai sebuah penghormatan yang besar bukan untuk saya secara peribadi, tetapi bagaimana saya mampu mewakili, memikul tanggungjawab dan kepercayaan untuk menyebarkan informasi bagaimana kita semua mampu hidup bebas hutang melalui pengurusan kewangan yang betul.
“Sejujurnya saya sendiri suka perkara seperti ini kerana secara tidak langsung dapat bertemu ramai orang, dapat ilmu dan pengalaman baharu terutama bagaimana menguruskan kewangan.
“Maklum kadangkala, kita berbelanja tidak sepadan dengan hutang, jadi mereka ini dapat membantu dengan memberi ilmu bagaimana menguruskan semuanya dengan bijak,” katanya.
Dalam pada itu, Ziana turut menyifatkan tanggungjawabnya itu sebagai salah satu usaha untuk dia mempamerkan sisi positif kepada peminat sekali gus membantu golongan yang memerlukan pengetahuan dalam perancangan kewangan.
“Tentu sahaja besar juga harapan saya dapat membantu mereka mencapai matlamat untuk membuat masyarakat cakna tentang kewujudan mereka sekaligus memberi khidmat terbaik kepada yang memerlukan,” ujarnya.
Selain Ziana, dua selebriti lain iaitu Datuk Dr Sheikh Muszaphar dan Datuk Jalaluddin Hassan turut dilantik sebagai duta organisasi tersebut.
Dalam perkembangan lain, CSA Academy bertindak selaku penaja utama Konsert Ziana Zain 2024 yang dijadual berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 25 Mei 2024.
Konsert Ziana Zain 2024 merupakan anjuran Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd dengan kerjasama Altus ProHouse.
Tiket dijual bermula pada harga RM288 (GOLD), RM488 (PLATINUM), RM688 (DIAMOND), RM888 (VIP 2), RM1,088 (VIP 1) boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my mulai 15 Disember 2023 pukul 10 pagi di www.ticketu.com.my/zianazain.
Pembelian tiket menggunakan sistem “Buy Now Pay Later” BNPL seperti Atome dan Shopback turut disediakan di laman rasmi pembelian tiket.
Manakala untuk pembeli tiket OKU (Orang Kurang Upaya) dan pembelian tiket melebihi 50 keping boleh menghubungi hotline tiket di 011-1190 0518.
Baca juga: