Ziarah MADANI: PM Hulur Bantuan Ringan Beban Ibu Tiga Anak

INDERA MAHKOTA: Program Ziarah MADANI di Indera Mahkota sekali lagi menyentuh hati apabila rombongan menziarahi kediaman Rosaida Mohamed, seorang ibu kepada tiga anak yang kini berdepan ujian kesihatan akibat masalah asma berpunca daripada penyakit tiroid.

Selain cabaran kesihatan, keadaan rumah beliau turut memerlukan penambahbaikan demi keselesaan dan keselamatan keluarga.

Menyedari keperluan itu, pihak berwajib memberi jaminan bahawa perkara tersebut akan dipanjangkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi hadir menyampaikan bantuan serta kotak makanan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap keluarga berkenaan.

“Mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya turut menyampaikan bantuan serta kotak makanan sebagai tanda keprihatinan dalam membantu meringankan beban keluarga beliau,” katanya.

Beliau turut menitipkan doa agar Rosaida diberikan kesembuhan dan kekuatan untuk terus tabah menghadapi dugaan hidup bersama keluarga tercinta.

“Saya mendoakan agar Rosaida diberikan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan serta terus tabah menghadapi setiap cabaran dan dugaan hidup bersama keluarga tercinta,” katanya lagi.

Untuk info, Program Ziarah MADANI yang digerakkan di seluruh negara bukan sahaja membawa bantuan fizikal tetapi juga menyemai semangat kebersamaan dan sokongan moral kepada rakyat yang sedang diuji.

Anda Mungkin Berminat