Ziarah MADANI: PM Salur Sumbangan Ringan Beban Pesakit Di Kuantan

KUANTAN: Program Ziarah MADANI terus menjadi wadah mendekatkan kerajaan dengan rakyat apabila Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menyampaikan sumbangan kepada seorang pesakit, Abd Sani Mustappa, di Taman Mahkota Idaman, Kuantan, Pahang.

Sumbangan berupa bakul makanan itu disalurkan bagi meringankan beban keluarga Abd Sani yang sedang berdepan cabaran kesihatan.

Ahmad Farhan berkata, bantuan tersebut disampaikan bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan memerlukan.

“Sumbangan ini diharap dapat meringankan sedikit beban keluarga dan menunjukkan bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi ujian hidup,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap ketabahan Abd Sani serta sokongan ahli keluarga yang setia menjaganya.

“Kasih sayang dan pengorbanan keluarga dalam menjaga beliau amat menyentuh hati dan menjadi contoh kekuatan dalam menghadapi cabaran,” katanya lagi.

Selain itu, Ahmad Farhan mendoakan agar Abd Sani dikurniakan kesihatan, ketenangan dan kekuatan serta urusan keluarganya dipermudahkan.

Anda Mungkin Berminat