Ziarah MADANI: Ringan Beban Pesakit, Erat Kasih Sayang

KUANTAN: Suasana penuh keinsafan menyelubungi siri Ziarah MADANI Indera Mahkota apabila rombongan berkesempatan menziarahi Yanti Sandari, yang kini sedang berjuang melawan ketumbuhan di kepala.

Setiap detik yang dilalui beliau penuh dengan cabaran, namun ketabahan jelas terpancar apabila suami tercinta, Shahrin, terus setia di sisi sebagai penjaga utama dan sumber kekuatan.

Mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Politik beliau, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan untuk meringankan beban yang ditanggung keluarga ini.

“Semoga Puan Yanti dikurniakan kesembuhan, diberikan kekuatan untuk terus tabah menghadapi ujian ini dan dipermudahkan segala urusan. Doa kami sentiasa mengiringi,” katanya.

Program Ziarah MADANI ini sekali lagi menzahirkan komitmen kerajaan dalam mendekati masyarakat, bukan sahaja melalui bantuan material tetapi juga dengan menyuntik semangat dan harapan kepada mereka yang diuji dengan dugaan berat.

Anda Mungkin Berminat