Ziarah MADANI: Rumah usang ibu tunggal dapat perhatian PM di Kampung Cherating

KUANTAN: Dalam usaha meringankan beban rakyat, Ziarah MADANI yang diadakan di Kampung Cherating, di sini, telah membawa sinar harapan kepada Ramlah Jusoh, seorang ibu tunggal yang gigih mengharungi kehidupan bersama anaknya, Wan Mohd Fauzi.

Namun, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, cabaran terbesar ibu tunggal dan anaknya itu bukan sekadar pendapatan yang terhad tetapi keadaan rumah yang semakin usang.

“Atap yang bocor, dinding kayu yang semakin mereput dan lantai yang sudah dimakan usia menjadikan setiap hari satu cabaran buat mereka.

“Rumah seharusnya menjadi tempat berteduh yang selesa, bukan beban yang menambah kesulitan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Dalam usaha membantu keluarga berkenaan, Farhan berkata, rumah usang Ramlah itu akan dibaik pulih agar lebih selesa dan selamat untuk mereka sekeluarga.

Selain itu, katanya, turut disampaikan sumbangan wang tunai daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meringankan beban keluarga itu.

“Semoga usaha ini menjadi sinar baru buat Puan Ramlah dan anaknya serta memberi sedikit kelegaan dalam menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan sebagai nelayan, mereka hanya mampu memenuhi keperluan asas hidup,” katanya.

Anda Mungkin Berminat