Ziarah MADANI: Santuni ibu tunggal uzur di Indera Mahkota

KUANTAN: Siri jelajah Program Ziarah MADANI Indera Mahkota diteruskan dengan lawatan ke rumah seorang ibu tunggal, Norliza Azemin di Kampung Balok dekat sini yang berdepan pelbagai cabaran hidup termasuk masalah kesihatan.

Menerusi program berkenaan, setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi berkata, Norliza yang tidak bekerja mengalami tekanan darah rendah serta asma sehingga menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri lama kerana berisiko pitam dan pengsan.

Menurutnya, walaupun berada dalam keadaan serba mencabar, wanita itu tetap gigih membesarkan serta menyara tiga orang anak yang masih bersekolah.

“Mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya turut menyampaikan sedikit bantuan serta kotak makanan sebagai usaha untuk memberi sedikit kelegaan kepada keluarga ini,” katanya.

Beliau berkata, program Ziarah MADANI diteruskan bagi memastikan kebajikan rakyat khususnya golongan memerlukan terus diberi perhatian.

Farhan turut mendoakan agar Norliza dan anak-anaknya diberikan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan kehidupan mereka.

Anda Mungkin Berminat