Oleh: Muzzamil Khairi
ULASAN | “Pelabur lari ke China, Pelabur Lari Ke Vietnam, Pelabur Lari Ke Indonesia, Pelabur Lari ke Afrika” – Sheikh EkonFin Zawawi
Skrip ini adalah skrip paling mudah nak dimainkan setiap kali nak menjatuhkan kredibiliti sebuah kerajaan yang memerintah.
Cuma, dah masuk tahun 2026, kita doakan agarkan rakyat semakin cerdik menilai sama ada pelabur asing benar-benar lari daripada negara kita atau sebaliknya.
Suka atau tidak, pelaburan lansung asing (FDI) mahupun pelaburan portfolio (Bursa Malaysia + pasaran bon + pasaran matawang) berada dalam tren meningkat. Kebiasannnya kalau berlaku penurunan mendadak atau berlaku aliran keluar bersih dana lansung asing, ianya disebabkan oleh faktor global yang di luar kawalan kita.
Hampir mustahil untuk berlaku situasi pelabur lari daripada Malaysia disebabkan oleh seorang Perdana Menteri. Seteruk kawalan modal yang dilaksanakan oleh Tun M pada tahun 1998 rentetan daripada Krisis Kewangan Asia, pelaburan lansung asing bersih (Net FDI) kekal meningkat tahun berikutnya iaitu RM14.3b dan RM13.8b (Tahun 1999 & 2000).

Seteruk mana pun prestasi pasaran bon pada sekitar 2016 apabila dana asing keluar secara bersih daripada pasaran bon sebanyak -RM31.1 billion, pasaran saham pula mencatatkan keluaran dana asing sebanyak -RM3.2b, pelaburan lansung asing masih masuk sebanyak RM143.47b.
Seteruk mana pun prestasi Bursa Malaysia pada tahun 2025 sehingga keluaran dana asing bersih mencapai hampir -RM23b, pelabur asing tetap masuk ke pasaran bon sebanyak hampir +RM25b bersih. Pelaburan lansung asing pula masuk sebanyak RM241.07b (setakat suku ketiga 2025).
Ini menunjukkan bahawa ekosistem ekonomi negara kita sudah pun mencapai tahap matang, dimana status Perdana Menteri semata-mata tidaklah menjadi satu-satunya kayu ukur kejayaan, apalagi kelemahan dalam menarik pelabur asing ke negara ini.
Realitinya pada ketika ini, pelaburan lansung asing begitu rancak masuk ke dalam negara ini, banyaknya disumbangkan oleh pembinaan pusat data dalam negara serta industri semikonduktor yang menyumbang dalam pembuatan cip dunia.
Realitinya juga adalah, pasaran portfolio dalam negara ketika ini adalah antara yang terbaik di Asia dengan jumlah kemasukan dana asing pada tahun ini yang melebihi RM10 bilion.
Ini semua adalah data dan angka yang sungguh asing buat ahli-ahli politik yang suka retorik. Zikir pelabur lari ni basi dah. Elok kalau belajar zikir lain pulak.
***Penulis adalah penganalisis ekonomi dan sentiasa mengupas isu terkini di media sosialnya
Baca juga;








