Zohran Mamdani Menang Besar: Langkah Pertama Jadi Datuk Bandar Muslim Pertama New York

NEW YORK: Seorang ahli politik muda berhaluan sosialis, Zohran Mamdani, mencipta kejutan besar apabila memenangi pemilihan utama Parti Demokrat untuk jawatan Datuk Bandar New York City, sekali gus menewaskan bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo.

Mamdani, 33, yang kini merupakan Ahli Dewan Perundangan Negeri, menjalankan kempen yang memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup yang tinggi di bandar itu.

Antara janji utamanya termasuklah pengangkutan awam percuma, penjagaan kanak-kanak percuma, pembinaan lebih banyak rumah mampu milik dan kenaikan gaji minimum yang dibiayai melalui cukai tambahan ke atas golongan kaya.

Kemenangan ini dilihat sebagai tamparan hebat kepada Cuomo yang sebelum ini dilihat sebagai calon pilihan berikutan pengalaman luas dalam bidang politik.

Cuomo, yang sedang berusaha memulihkan reputasi politiknya selepas terpalit skandal gangguan seksual, mengakui kekalahannya dan menyatakan ini adalah malam beliau (Mamdani).

Kami akan membuat beberapa keputusan penting selepas ini, katanya memetik laporan Sky News.

Selain menerima sokongan besar dari golongan muda dan pengundi progresif, Mamdani turut mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh ternama seperti Ahli Kongres Alexandria Ocasio-Cortez dan Senator Bernie Sanders.

Sekiranya terpilih dalam pilihan raya umum pada November ini, Mamdani bakal mencatat sejarah sebagai Datuk Bandar Muslim dan berdarah India pertama di New York City.

Situasi politik di bandar itu semakin hangat apabila penyandang jawatan sekarang, Eric Adams, mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas selepas terpalit dengan dakwaan rasuah.

Walaupun terdapat kritikan mengenai kurangnya pengalaman beliau dalam menguruskan krisis besar, kemenangan Mamdani menunjukkan sebahagian besar pengundi mahukan perubahan haluan kepimpinan di bandaraya terbesar Amerika Syarikat itu.

Pemilihan kali ini turut mencatatkan kadar keluar mengundi yang tinggi meskipun berlaku gelombang haba dengan suhu mencecah 37 darjah Celsius.

Pemerhati politik melihat keputusan ini sebagai petanda perubahan cita rasa politik rakyat New York, yang mungkin memberi gambaran kepada hala tuju Parti Demokrat dalam era penggal kedua pentadbiran Donald Trump di peringkat nasional.

https://malaysiabangkit.com/2025/02/06/malaysia-tegas-ada-hala-tuju-jelas-sebagai-pengerusi-asean-2025

Anda Mungkin Berminat