NEW YORK: Dalam satu kejutan politik yang menggoncang landskap pilihan raya Amerika Syarikat, Zohran Mamdani, seorang demokrat sosial berusia 34 tahun, diunjurkan sebagai pemenang jawatan Datuk Bandar New York City.
Ia menjadikannya Datuk Bandar termuda dalam tempoh satu abad dan yang pertama beragama Islam memegang jawatan tertinggi pentadbiran bandar terbesar negara itu.
Kemenangan Mamdani diumumkan oleh beberapa agensi berita utama termasuk Decision Desk HQ dan NBC News, selepas beliau berjaya menewaskan dua tokoh besar iaitu bekas Gabenor Andrew Cuomo dan calon Republikan Curtis Sliwa dalam persaingan tiga penjuru.
Mamdani, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri New York, mencipta sejarah bukan sahaja kerana latar belakangnya sebagai anak imigran Uganda-India tetapi juga kerana keberaniannya membawa agenda progresif ke pentas utama politik bandar.
Beliau mendapat sokongan padu daripada pengundi muda, komuniti minoriti dan aktivis akar umbi yang mahukan perubahan radikal dalam dasar perbandaran.
Kempen beliau menekankan isu kemampuan hidup di bandar termasuk janji untuk membekukan kadar sewa, menjadikan perkhidmatan bas percuma, menubuhkan pasar raya milik bandar serta memperluaskan penjagaan kanak-kanak universal.
Pendekatan itu menjadikan Mamdani sebagai simbol harapan baharu bagi warga New York yang bergelut dengan kos sara hidup dan ketidaksamaan ekonomi.
Kemenangan Mamdani juga menandakan titik perubahan dalam politik bandar New York, yang selama ini didominasi oleh tokoh-tokoh arus perdana.
Walaupun menerima kritikan daripada Presiden Donald Trump dan beberapa pemimpin Demokrat moderat, Mamdani berjaya mengukuhkan sokongan akar umbi dan membuktikan bahawa suara progresif mampu menembusi tembok kuasa tradisional.
Dengan mandat baharu ini, Mamdani dijangka membawa pendekatan yang lebih berani dan inklusif dalam pentadbiran bandar, menjadikan New York sebagai medan ujian dasar-dasar sosial yang lebih adil dan berorientasikan rakyat.








