PETALING JAYA: ZUS Coffee sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden yang berlaku di salah satu cawangannya semalam (Ahad), susulan video interaksi antara kakitangan yang tular di media sosial.
Dalam kenyataan pada Isnin, syarikat itu berkata, kakitangan dan komuniti ZUS Coffee merupakan nadi utama operasi mereka dan sebarang kejadian melibatkan warga kerja akan ditangani dengan penuh serius.
“Kami telah mengambil langkah sewajarnya dan sentiasa berada di sisi Zurista kami.
“Bekerja dalam industri perkhidmatan bukan mudah dan perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku.
“Kita hanyalah manusia yang mencuba yang terbaik,” jelas kenyataan itu.
ZUS Coffee turut menyeru orang ramai agar menghormati privasi individu terlibat dan tidak menyebarkan atau menyiarkan semula video berkenaan tanpa kebenaran.
Syarikat itu juga mengingatkan agar tiada kenyataan palsu disebarkan yang boleh menjejaskan proses siasatan dan integriti individu terbabit.
Menurut kenyataan itu lagi, Zurista yang terlibat kini sedang berehat dan memulihkan diri, sementara pihak pengurusan memberi tumpuan kepada kebajikan pekerja tersebut.
“Kami tidak bertolak ansur dengan sebarang sikap atau perilaku yang tidak menghormati komuniti kami.
“ZUS kekal komited mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan saling menghargai,” tambah kenyataan itu.
Sebagai jenama kopi tempatan yang berkembang pesat di seluruh negara, ZUS Coffee terus mengekalkan reputasinya sebagai syarikat yang menitikberatkan kesejahteraan pekerja dan perkhidmatan pelanggan yang berkualiti tinggi.








