CYBERJAYA: Kutipan cukai langsung oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mencatat rekod baharu apabila mencecah RM203.991 bilion tahun lalu, sekali gus buat pertama kali melepasi paras RM200 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM19.19 bilion atau 10.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut beliau, prestasi kutipan yang lebih kukuh membolehkan kerajaan menyalurkan tambahan RM11.4 bilion bagi bayaran balik cukai kepada syarikat yang tertunggak.
โIa sekali gus membolehkan komitmen lampau diselesaikan secara lebih tersusun dan telus,โ katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sempena sambutan Hari LHDN ke-30 di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan LHDN perlu terus memperkukuh keupayaan analitik serta mempercepatkan pendigitalan, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan kutipan dan mengurangkan ketirisan.
Beliau turut menekankan keperluan memperkemas perkhidmatan kepada rakyat dan perniagaan agar lebih pantas serta mesra pengguna.
โMatlamat kita bukan sekadar meningkatkan kutipan, tetapi memastikan sistem percukaian lebih adil, telus dan diyakini,โ katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.
Baca juga:








