Bayaran Balik Cukai Dikreditkan Mulai Minggu Kedua Mac- LHDN

LHDN

PUTRAJAYA:Bayaran balik cukai kepada pembayar cukai yang layak dan telah selesai diproses akan mula dikreditkan secara berperingkat bermula minggu kedua Mac ini.


Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan semalam, bayaran balik itu melibatkan pembayar cukai individu yang mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi Tahun Taksiran 2025 selaras dengan pembukaan perkhidmatan e-Filing pada 1 Mac lalu.


“Selaras dengan Piagam Pelanggan LHDN, bayaran balik cukai bagi BNCP yang dihantar melalui e-Filing akan diproses dalam tempoh sehingga 30 hari bekerja, manakala bagi BNCP yang dihantar secara manual pula sehingga 90 hari bekerja,” menurut kenyataan itu.


LHDN bagaimanapun menjelaskan bayaran balik berkenaan boleh diproses lebih awal sekiranya maklumat yang dikemukakan pembayar cukai adalah lengkap, tepat dan tidak memerlukan semakan lanjut.


Sehubungan itu, pembayar cukai dinasihatkan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada LHDN adalah tepat dan terkini bagi memastikan proses bayaran balik berjalan lancar.


“LHDN komited untuk terus menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada pembayar cukai serta memastikan urusan percukaian dilaksanakan secara cekap dan efisien,” menurut kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat