14 Kanak-Kanak Ditahan Dalam Kes Pergaduhan Depan Sekolah Di Skudai

JOHOR BAHRU: Polis menahan seramai 16 individu termasuk 14 kanak-kanak lelaki dan dua wanita dewasa, susulan kejadian pergaduhan di hadapan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arshad berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.45 tengah hari sebelum laporan polis dibuka.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Johor telah menjalankan operasi tangkapan pada hari sama antara pukul 3 petang hingga 11 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kesemua suspek berusia antara 12 hingga 37 tahun ditahan di sekitar Taman Nusa Bestari dan Iskandar Puteri.

“Hasil siasatan awal mendapati semua individu terbabit mengaku terlibat dalam pergaduhan tersebut.

“Pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas salah seorang suspek ditampar, sekali gus mencetuskan pergaduhan selepas waktu persekolahan,” katanya lagi.

Menurutnya, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan akan didakwa di Mahkamah Johor Bahru hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam serta dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Sehubungan itu, polis menyeru ibu bapa dan masyarakat agar lebih peka dalam mendidik serta memantau tingkah laku anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dengan aktiviti jenayah.

Anda Mungkin Berminat