PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi pengalaman menyentuh hati sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur semalam apabila beliau sempat menyantuni dua beradik, Uwais Al Qorni dan Aesha Khadeeja, di pagar Lapangan Terbang Sultan Mahmud.
Beliau menceritakan bagaimana keikhlasan mereka menghulurkan duit raya menjadi simbol kasih sayang rakyat Malaysia tanpa mengira usia.
“Tersentuh hati melihat keikhlasan mereka menghulurkan duit raya, satu tanda kasih yang merendahkan jiwa.
“Saya anggap ia simbol kebersamaan rakyat tanpa mengira usia, saling menguatkan tatkala mendepani krisis ketika ini,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata, wajah tulus anak-anak itu mengingatkan beliau tentang amanah besar untuk memastikan setiap anak Malaysia dibesarkan dengan kasih sayang, didikan baik dan peluang yang adil.
“Melihat wajah-wajah ini, terbit rasa sayu dan kasih, amanah kita adalah memastikan setiap anak Malaysia dibesarkan dengan kasih sayang, didikan baik dan peluang yang adil.
“Semoga Uwais dan Aesha membesar sebagai generasi berilmu, berakhlak dan membawa kebaikan kepada keluarga serta negara,” katanya.
Terdahulu, Anwar menghadiri beberapa program utama termasuk majlis pecah tanah Kolej Matrikulasi Bukit Payong, sesi ramah mesra MADANI bersama pelajar tahfiz, mesyuarat pembangunan daerah Kuala Terengganu serta Mini Konvensyen PKR Terengganu.








