1MDB: Malaysia pulih RM31.3 bilion, antara rekod tertinggi dunia

PETALING JAYA: Malaysia berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion atau 74.5 peratus daripada keseluruhan RM42 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng setakat tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata pencapaian itu meletakkan Malaysia antara negara dengan kadar pemulihan aset tertinggi di dunia bagi kes jenayah kewangan berskala besar.

Menurut beliau, jumlah yang diperoleh semula itu turut melepasi sasaran awal sekitar 70 peratus atau RM30 bilion seperti yang pernah diunjurkan sebelum ini.

“Setakat ini, berdasarkan data yang ada, jumlah keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng adalah RM42 bilion,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Rabu.

Kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mengesan serta memulangkan semula aset negara, selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM kini giat mendapatkan semula lapan lagi karya seni bernilai lebih RM120 juta yang dipercayai berkait dengan penyelewengan dana 1MDB.

Azam berkata, sebanyak 12 karya seni telah dikenal pasti untuk dibawa pulang ke Malaysia, dengan empat daripadanya berjaya diperoleh semula setakat ini.

Antara karya yang masih dalam proses pemulangan termasuk hasil seni oleh Henri Matisse, Alexander Calder, Pablo Picasso, William H. Bailey serta Raoul Dufy, manakala nilai karya oleh Salvador Dalí dan Gustave Loiseau masih dalam proses pengesahan.

Secara keseluruhan, nilai karya seni yang masih dalam usaha pemulihan dianggarkan sekitar USD1.7 juta (kira-kira RM6.9 juta).

Selain itu, SPRM turut berusaha mendapatkan semula hasil jualan sebuah lukisan karya Claude Monet bertajuk Vétheuil au Soleil yang dijual di Switzerland dengan anggaran nilai EUR25.2 juta (sekitar RM114 juta).

Menurut Azam, dana berkenaan kini tertakluk kepada prosiding penyitaan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, dan usaha pemulihan terus dijalankan melalui kerjasama perundangan antarabangsa termasuk dengan Biro Penyiasatan Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Terdahulu, SPRM berjaya membawa pulang empat karya seni antarabangsa yang dibeli menggunakan dana 1MDB melalui rumah lelong Sotheby’s di New York pada April lalu.

Empat karya tersebut ialah hasil seni oleh Joan Miró bertajuk Composition (1953), Maurice Utrillo bertajuk Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre (1934), Balthus bertajuk Étude pour femme couchée (1948), serta karya Pablo Picasso bertajuk L’Ecuyère et les clowns (1961).

Semua karya tersebut dijangka diserahkan kepada Balai Seni Negara dalam masa terdekat.

Azam menjelaskan, proses membawa pulang karya seni itu dilaksanakan secara teliti dengan kawalan keselamatan tinggi melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Mengulas sama ada karya berkenaan akan dijual, beliau berkata keputusan tersebut akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Baca juga:;

Anda Mungkin Berminat