200 penghuni Residensi Begonia TTDI tidak puas hati pemaju buat kerja ‘asal boleh’

Seramai 200 penghuni pangsapuri Residensi Begonia TTDI Grove, Kajang, Selangor meluahkan rasa kecewa tidak puas hati dengan keadaan kediaman mereka yang didakwa dibina pemaju ibarat melepas batuk di tangga.

Menurut wakil penduduk L. Francis, pangsapuri tersebut merupakan projek perumahan SelangorKu yang mana sepatutnya siap pada 2020, namun disebabkan oleh beberapa perkara, rumah tersebut hanya dibenarkan untuk dihuni pada tahun lalu.

Katanya, kediaman tersebut merupakan jenis kos rendah yang seharusnya mendapat perhatian daripada pihak berwajib, lebih-lebih lagi apabila ia merupakan melibatkan kerajaan negeri.

“Kita ingat tunggu lama hasil pembinaan seperti dijanji namun yang berlaku sebaliknya. Kebayakan rumah yang didiami mengalami pelbagai kerosakan.

“Antaranya lantai tidak sekata, kebocoran paip selain bangunan tidak dicat secara sempurna. Terdapat juga kerja-kerja yang tidak lengkap di pangsapuri ini,” katanya pada Jumaat.

Tambah Francis, aduan mengenai hasil kerja yang kurang berkualiti serta masalah yang dialami penduduk sudah diutarakan kepada pihak berkaitan, namun tiada jawapan balas.

“Kami menuntut pemaju memberikan penjelasan kerana projek perumahan ini adalah antara inisiatif kerajaan Selangor kepada rakyat di negeri ini jadi mana mungkin pembinaan tidak seperti yang dijanjikan.

“Selain itu, kita juga harap pihak kerajaan negeri tampil bagi melihat situasi dialami agar penghuni mendapat solusi berhubung masalah tersebut sekali gus mengelakkan perkara sama berulang,” katanya.

Untuk info, projek tersebut memiliki sebanyak 200 kediaman melibatkan beberapa blok bangunan empat tingkat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat